
Hampir setiap hari
Aku duduk di bangsal ini
Mendongak-dongak lalu mengamati
Setiap buah yang bergayutan
Di celah daunan yang berkilauan
Warnanya yang emas kuning
Susuknya yang mengkal
Bagaikan menggamit jiwa ragaku
Membuatkan hatiku sangat rawan
Memberikan aku harapan
Bahawa buah idaman ini
Pasti akan gugur
Lalu aku terus menanti dan menanti
Dengan seribu harapan
Esoknya
Aku datang lagi
Duduk di bangsal ini
Menanti dan menanti
Mendongak dan mengamati lagi
Buah yang sangat memancing hati
Dan aku sekali lagi
Meletakkan harapan menggunung tinggi
Bahawa buah idaman ini
Pasti akan gugur juga nanti
Lusanya,
Aku datang lagi
Ke dusun harapan ini
Namun buah idaman hati
Masih tetap bergayut menawan
Di celah daunan yang berkilauan
Lalu terus menggamit perasaanku
Tanpa memperdulikan aku
Yang sedang sabar menanti
Dengan seribu harapan
Alangkah!
Tanpa aku sedari
Buah yang menggoda hatiku ini
Tidak pernah akan gugur
Kerna buah itu adalah palsu
Yang susuknya menawan hati
Tetapi kosong tidak berisi
Lalu di bangsal buruk ini
Aku berteleku kesenduan
Menggumal hati yang tersiksa
Menanti buah harapan
Yang tidak pernah akan gugur
Untuk selama-lamanya.
Umamah Al-Edrus
Kg.Changkat, Gombak
29hb. Jun 2010
Teringat 'durian palsu' ketika menonton dokumentari di TV1. 'Durian Palsu' banyak terdapat di hutan Sabah.Bahagian luarnya menyerupai durian tetapi didalamnya dikatakan tidak ada isi.Mungkin kerana itulah dinamakan 'durian palsu'.Lalu menjadi sumber ilham saya melahirkan sajak ini...durian palsu sama seperti memberi harapan palsu.
Suke sangat2....
ReplyDelete