Sunday, July 18, 2010

Sampah dan Sesuap Nasi

Sampah dan Sesuap Nasi

Seekor gagak
Hinggap di tong sampah
Hadapan rumahku
Selongkar makanan basi
Yang kubuang malam tadi
Merupakan rezeki yang dihajati

Seorang lelaki
Berwajah gelap dan lesi
Singgah di hadapan rumahku
Selongkar sampah
yang kubuang malam tadi
Mencari kertas, botol, tin dan batang besi
Untuk dijual nanti
dengan harga beberapa sen cuma

Setiap kali
Aku campak sampah ini
Adalah sumber rezeki
Sang gagak dan si lelaki
Yang hidupnya hanya
Mencari sesuap nasi

Angin
Sampaikan pertanyaanku ini
kepada pak menteri
'Nasib apakah yang menimpa
bangsaku ini?'


Sh.Umamah Al-Edrus
18hb Julai 2010.
Gombak, K.Lumpur


Sampah dan sesuap nasi......sejak kebelakangan ini kelihatan banyak orang yang selongkar sampah mencari barang-barang terbuang yang boleh dijual meskipun harganya hanya beberapa sen cuma. Pemandangan seumpama ini jelas menunjukkan semakin ramai hidup rakyat kita yang semakin terhimpit dan terdesak. Penipuan, ragut, jual bayi selongkar sampah semakin menjadi-jadi......apakah kita sudah semakin jauh daripada Rahmat Illahi? Jangan sampai satu hari nanti, kita akan melihat orang selongkar sampah kerana mencari sisa-sia makanan yang dibuang, untuk mengisi perut kerana kelaparan...persis seekor burung gagak yang mencari rezeki di tong-tong sampah.

1 comment:

  1. Angin
    Sampaikan pertanyaanku ini
    kepada pak menteri
    'Nasib apakah yang menimpa
    bangsaku ini?'

    -Sangat menyentuh kalbu-

    ReplyDelete