Aku seakan mahu menerkam ummi
Menggoncang tubuh ummi yang sedang melayuh
Memberikan nafasku pada ummi yang sedang lempur
Kembang kempis dada ummi menyiuk udara
Setitik dan setitik air mata ummi bertiti di ekor mata
Namun ummi masih tidak mahu menyapa
Menjadikan aku benar-benar gelora
Menahan sebak di dada
Menahan sendu di hati
Ummi
Bangun ummi
Bukalah kelopak mata ummi
Aku mahu mata ruyup ummi melirik lesu pada wajah anak ummi
Aku mahu ummi
Mengejipkan mata, cukup sebagai tanda bahawa
Ummi sayang akan aku....ummi kasih akan aku
Ummi
Bangun ummi
Aku mahu mendengar lontaran suara ummi
Biarpun suara itu bagaikan suara singa atau suara apapun
Aku tidak peduli
Kerna aku mahu suara ummi membisikkan
'ummi maafkan anak ummi, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki'
Ummi
Bangun ummi
Gerakkan jari-jemari ummi yang kian mendingin
Sentuhlah mata anak ummi yang semakin membengkak ini
Rabalah pipi anak ummi yang sedang basah dengan air mata dosa ini
Anak ummi mahu meramas erat telapak tangan ummi
Anak ummi mahu mencium dan mencium tangan keramat seorang ummi
Agar tertebus segala dosa anak ummi
Pengampunan ummi sangat bermakna buat anak ummi
Kerana syurga itu ada ditelapak kaki ummi
Ummi
Bangun ummi
Aku mahu ummi membelaiku dan mengusap-usap ubun-ubunku
Aku mahu ummi mengapuk aku dalam kehangatan kasih seorang ummi
Aku mahu mendengar detak-getar jantung ummi
Detak-getar yang sama kudengar sewaktu aku dalam rahim ummi lagi
Detak-getar jantung ummi yang membuatkan hatiku sentiasa tenteram dan tenang
Ummi
Bangun ummi
Gerakkan jari-jemari ummi yang dingin itu
Bukalah kelopak mata ummi barang sepicing
Lontarkanlah suara ummi barang berbisik sekalipun
Bisikkanlah ummi,
'ummi maafkan anak ummi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki'
Supaya andaikata malaikat Izrail datang menjemput ummi
Anak ummi sudah siap menerima takdir itu
Dan anak ummi sudah rela melepaskan ummi pergi
Sesungguhnya syurga itu ada di telapak kaki ummi
Ummi
Aku amat takut sekali
Andaikata ummi tidak melontarkan kata-kata keramat itu
Dari sudut hati ummi yang paling dalam
Maka ubun-ubun anak ummi akan berulang-kali hangus terbakar
Hanya kerana anak ummi telah berkata 'ah' pada ummi
Dan kerana anak ummi telah membiarkan titis-titis air mata ummi
Berguguran tumpah jatuh ke bumi
Kerana ummi telah tersinggung atas tingkah anak ummi yang biadap
Membiarkan ummi melayari hidup yang kian senja
Bersendirian di taman hati yang terguris luka
Ummi
Bangun ummi
Dengarkanlah ratapan anak ummi
Anak ummi sudah cukup menderita
Menanti ummi yang tidak menyapa
Menunggu ummi yang tetap tidak berkata-kata
Melihat air mata ummi gugur menitis di ekor mata
Ummi
Ampunkanlah dosa-dosa anak ummi,
Bisikkanlah,
'ummi maafkan anak ummi, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki'.
Umamah al-Edrus
13hb. Mei 2010
Gombak,KL.
Ilham dari novel Air Mata Sakinah.